Thursday, October 3, 2013

Antara Dua Peraturan

"Negaraku, tanah tumpahnya darahku", lagu Negaraku berkumandang seluruh dewan,
Kedengaran lagu itu sehingga ke pembesar suara luar dewan memecah keheningan pagi itu.

Kelihatan seorang remaja berlari-lari menuju ke arah dewan, dipegang tombol pintu dewan besar, lalu di tolak semampunya.

Wajahnya kelihatan sedikit pucat dek kerana hatinya gusar dan bimbang dia menjadi perhatian, dan tidak berdiri tegak sewaktu lagu Negaraku dinyanyikan.

Habis sahaja lagu negaraku, semua yang berada didalam dewan tadi duduk serentak.Tinggallah si budak yang terlewat tadi tercari-cari kerusi jikalau masih ada kosong.

Datang sahabatnya, "Amboi lewat nampak hari ni, orang menyanyi negaraku berdiri tegak, dia berlari-lari", perli kawannya.

Budak tadi senyum tawar. Acara dewan terus bermula sehingga waktu tengahari. Diberi rehat seketika untuk makan dan tunaikan solat fardhu dzuhur.

Ketika beratur untuk mengambil makanan masing-masing, kedengaran suara azan bergema, memanggil, memuja dan memuji yang Maha Esa.

Kelihatan, ketika azan ada yang ketawa berdekah-dekah berjenaka bersama sahabat-sahabatnya, seolah-olah tak mendengar azan tersebut, khusyuk pula sekumpulan remaja membelek handphone masing-masing dengan internet dan sebagainya. Cuma segelintir yang menjawab azan. Alhamdulillah,

Hakikatnya, manusia mampu hormat berdiri tegak ketika menyanyikan Lagu Negaraku, tapi tak mampu hormat ketika mendengar azan? Allah, 

**************

Manusia, lebih takut dengan undang-undang manusia itu sendiri, berbanding undang-undang yang telah diaturkan Allah?

Setiap apa yang kamu buat akan diperhitung disana! Kawan, kerna sayang aku ingatkan, andai tak sayang aku biarkan. (^_^) 



IkaDekchik
Durian Tunggal - Melaka

Lautan luas dan dua sahabat

Kelihatan dua sahabat berjalan-jalan dipersisiran pantai. Sesekali diselang seli dengan bunyi burung berkicau. Angin sepoi-sepoi bahasa, cukup menenangkan hambaNya yang berjiwa sepi.

Bunyi ombak turut berzikir kepadaNya, dua sahabat itu terus berjalan sambil melakarkan kisah-kisah hidup mereka. Sesekali mereka tertawa riang dek kelucuan sahabatnya Solehah. Tiba-tiba seperti ada yang tak kena.

"Hmm, Solehah....", kata-kata Wahidah terhenti.

"Ya? Jawab Solehah ringkas.

Seperti ada sesuatu yang ingin dikongsikan Wahidah, namun lidah itu kelu.

"Kenapa ni? Ada apa-apa yang boleh ana bantu enti?", tanya Solehah sambil tersenyum lalu dipaut bahu sahabatnya Wahidah.

"Hmm, ana tak tahu nak mula dari mana, ana malu dengan enti", raut wajah Wahidah berubah menjadi sayu.

Kedua-duanya terdiam, cuma terdengar ombak memecah kesunyian. Solehah cuba menarik perhatian sahabatnya.

"Eh, ada batu besar disana, jom duduk dulu nak? Enti tak penat ke?", kata Solehah sambil menunjuk ke arah batu besar itu.

Wahidah cuma mengangguk, merasakan apa yang dia cuba hendak sampaikan seperti tak diendah sahabatnya.

"Cepatlah enti ni, cergaslah sedikit! Macamana nak dakwah kalau badan lembik!", usik Solehah lalu digenggam erat tangan sahabatnya diajak berlari-lari anak ke batu besar itu.

Mereka duduk diatas batu besar itu, melihat lukisan alam terbentang luas. Lidah mereka tak putus-putus memuja dan memuji Allah.

"Sekarang, cerita sajalah masalah enti, mana tahu ana boleh bantu? Kalau tak dapat bantu selesaikan masalah pun, ana boleh jadi pendengar yang setia buat enti", kata Solehah.

Mendengar kata-kata dari Solehah, Wahidah seperti ditiup semangat, ingin saja dia kongsikan kepada sahabat yang dia cintai itu.

"Macam ni Solehah, ana sedih juga dengan sikap ana ni, ana ni nampak diluaran sahaja alim, tapi ana tak rasa iman ana kuat, kadang-kadang ana rasa ana ni lebih cintakan dunia dari akhirat. Ana semacam tak percaya akan janjiNya, ana selalu mahu apa yang ana nak Allah mesti bagi! Kalau Allah tak bagi, ana rasa sedih, ana rasa Allah tak adil, dan sebagainya", ujar Wahidah, berkaca matanya, pipinya merah menahan tangis.

Solehah tersenyum penuh harapan pada sahabatnya, lalu dia memeluk erat tubuh sahabatnya. Dalam dekapan ukhuwah mereka merasai kasih antara satu sama lain. Lantaran mereka berkongsi kasih sayangNya!

"Cuba enti tengok air laut tu!", Solehah menunjuk jari ke arah laut.

Lalu diajak sahabatnya turun dari batu dan menuju ke arah air laut.

"Sekarang, ana nak enti celup jari enti dalam air laut, kemudian angkat jari enti, cuba perhatikan titisan air laut yang jatuh dari jari enti", sekali lagi Solehah menyuruh Wahidah.

Wahidah cuma turutkan permintaan sahabatnya, walau dihatinya sedikit bingung.

"Lepas tu? Apa yang cuba enti sampaikan ni? Ana tak faham langsung", tanya Wahidah sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Solehah tersenyum girang melihat reaksi sahabatnya, sambil mengangkat kening Solehah berkata,


"Rasulullah saw bersabda : "Perbandingan antara dunia dan akhirat tidak lain seperti seseorang daripada kalian yang mencelupkan jarinya ke dalam laut. Setelah itu, dia melihat berapa banyak air yang melekat dijarinya ketika dia menarik keluar jarinya dari laut".
(H.R Muslim)

"Bayangkan Wahidah, yang enti cintakan hanya air yang melekat dijari enti adalah kehidupan dunia, manakala lautan luas didepan mata kita ini adalah kehidupan akhirat! Betapa luasnya, betapa jauhnya beza! Enti pilihlah, enti nak setitis air tadi, atau air laut ini?", Solehah mengangkat kening.

Wahidah terdiam.

Terlalu banyak yang sahabatnya berkongsi, didalam hati Wahidah, dia bermonolog sendirian,"Sungguh engkau sahabatku tak pernah tamak dengan ilmumu, tak pernah berbangga dengan kelebihanmu, setiap nasihat penuh hikmah! Engkaulah sahabat yang mampu membawa aku ke syurga kelak, Allah, didalam doaku, tak putus aku meminta supaya Engkau tetapkan nikmat hidayah ini, namun tidak pernah ku sedar, Engkau telah memakbulkan doaku, dengan kehadiran sahabatku disisi yang senantiasa mengingatkan tentang cintaMu, kuasaMu, syukran 
Allah! 

Benarlah, hidup ini bukan macam doeramon, apa nak semua dapat, tapi hidup ini realiti, hidup ini Allah beri apa yang kita perlu, bukan yang kita mahu.


Ya, dalam dakapan ukhuwah, kita merasa tenang. Kerna dia sahabatku!



IkaDekchik
Durian Tunggal - Melaka.